Saya selalu ditanya: apa beza ‘pelajaran’ dan ‘pendidikan’?
Saya bagi
situasi hipotetikal. Kau masuk universiti, kemudian keluar dengan ijazah kelas
pertama. Lepas itu, kau minum teh di kedai Mamak sambil hisap rokok
berdebus-debus. Sikit pun tidak peduli orang keliling, kiri dan kanan.
Maksudnya, kau
cuma pintar akademik, tapi pandir sivik. Berpelajaran, tapi tidak
berpendidikan.
Atau begini.
Kau belajar kalkulus dan algebra. Kau tekuni Teori Pythagoras, tentang garis
terpendek antara dua titik. Bila rumah kau kena banjir, kau pilih jarak
terdekat untuk keluar ke tempat selamat sebab Matematik kata begitu. Meski pun
kau tahu jalan itu ada longkang besar. Akibatnya? Kau hanyut, lemas dan mati.
Maksudnya, kau
cuma ada ilmu (knowledge) tentang
penyelesaian masalah, seperti dalam buku teks. Tapi tiada hikmah (wisdom) untuk mempraktiknya secara
amali di alam realiti. Kau berjaya menikmati pelajaran, tapi gagal menghayati
pendidikan.
Pelajaran itu
sekadar output yang terhasil bagi aktiviti pembelajaran (e.g kurikulum,
fieldtrip, silibus, markah, graduasi, etc). Pendidikan itu pula outcome yang
membina karektor si pelajar (e.g. sikap, nilai dan budaya). Masih ramai yang
kurang hadam konsep “output” dan “outcome” dalam konteks ini.
Sebab itu,
meskipun OBE (outcome-based education)
sudah bertahun-tahun terolah dalam pendidikan Malaysia, masih ramai pendidik
yang keliru. Paradigma dan amalan mereka belum berganjak dari content-oriented
kepada skill-oriented. Dalam proses pembelajaran dan pengajaran — yang mereka
pupuk, ukur dan nilai masih lagi output, bukannya outcome. OBE juga, tapi O
yang lain.
Untuk
membolehkan peralihan signifikan daripada ‘lanskap pelajaran’ kepada ‘landskap
pendidikan’ benar-benar berlaku — kita mesti reformasikan cara kita menaksir,
menilik dan mena’akul sistem pengajaran dan pembelajaran yang ada. Berani
berubah dari output, kepada outcome.
Seorang yang
terpelajar, belum tentu terdidik. Pelajaran itu disukat pada report card dan
sijil. Pendidikan itu terpancar pada kemahiran, pemikiran dan tingkah laku.
CC: Rem Dambul
No comments:
Post a Comment
Hmm, komen yang murni-murni saja ya