Dr. Kamilin Jamilin
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM
Antara cabaran utama para pelajar yang berminat untuk
menerokai ilmu hadis ialah bahasa arab yang sangat penting untuk menguasai ilmu
hadis baik dari sudut riwayah (periwayatan sanad) atau dirayah (kefahaman
teks). Ini kerana hadis sendiri berasal dari bahasa arab, dan rujukan-rujukan
medan ini juga dalam bahasa arab.
Saya beranggapan kebanyakan orang awam masih kurang menguasai
bahasa al-Quran ini dengan baik. Maka saya syorkan mulailah dengan membaca
penulisan dalam bahasa yang kita fahami disamping mengasah kemahiran bahasa
arab kita kerana kebanyakan penulisan yang baik dan utama masih belum
diterjemahkan.
Realiti ramai penuntut ilmu hadis yang minat mereka lebih
cenderung kepada salah satu cabang tersebut sahaja. Ramai yang hanya berminat
kepada fiqh hadis yang lebih tertumpu pada makna-makna hadis, sedikit pula yang
meminati sains hadis yang lebih fokus pada penilaian status hadis. Tidak
dinafikan, kedua-duanya sangat penting.
Jika kita cenderung untuk menerokai bidang fiqh hadis, tidak
dinafikan penguasaan bahasa arab perlu dipertingkatkan kerana ia melibatkan
banyak perbincangan mengenai kefahaman hadis dan perincian bagi setiap lafaz
hadis.
Jika bidang sains hadis yang lebih diminati, maka keperluan
terhadap bahasa arab juga tinggi kerana ia melibatkan banyak perihal perawi dan
rujukan, sedangkan hampir kesemua rujukan ini dalam bahasa arab.
Setelah mengetahui hala tuju kita, teguhkan cabang-cabang
ilmu yang boleh diumpamakan sebagai tiang asas yang menguatkan binaan. Bermula
dengan rujukan yang mudah, lalu mendapatkan bimbingan pembimbing baik yang mampu
memandu kita menerokai ilmu hadis.
Ketahui siapa para guru yang ahli dalam bidang tersebut dan
berkelapangan untuk bersama kita. Lazimi mereka dan masukilah ilmu yang kita
kehendaki melalui pintu yang betul. Jangan jemu dan goyah dengan kesukaran yang
dihadapi dalam proses menimba ilmu. Konsisten hingga kita mencapai objektif dan
kepuasan yang dicari.
Sebarang ilmu sememangnya menuntut komitmen yang berterusan
dan usaha keras yang sudah semestinya memakan masa yang lama.
Saya kira untuk menjadi pakar dalam bidang lain juga
sebegitu, itupun hanya pakar dalam bahagian-bahagian kecil tertentu.
Tidak dinafikan komitmen serta urusan harian kita hari ini
banyak menyibukkan kita dari sempat meluangkan masa untuk fokus, menelaah,
serta menganalisis yang dapat meningkatkan kemahiran ilmu kita kerana
sememangnya sukar untuk kita menguasai banyak disiplin ilmu di zaman yang
seakan kurang keberkatan masa ini.
Saya pernah mendengar almarhum Dr. Wahbah al-Zuhayliy berkata
suatu ketika dahulu -jika ingatan saya tidak silap. “Pada hari ini kita hanya
mampu menjadi mujtahid juz’iy sahaja…” iaitu pakar dalam sesetengah bidang
sahaja.
Namun pada masa yang sama, tidak mustahil untuk kita mahir
dalam bidang hadis jika kita memiliki MINAT, FOKUS & USAHA. Saya melihat
kunci paling utama ialah minat kerana dengan minat, usaha dan perkara lain akan
datang dengan sendirinya. Tidak pelik ramai yang kurang berminat untuk
mendalami disiplin hadis kerana barangkali berasa takut serta hilang harapan
atau melibatkan hafalan dan kemahiran yang luas. Barangkali juga kerana tidak
melihat ianya ada kaitan dengan isu-isu semasa.
Bagi saya dispilin hadis ialah satu SENI. Banyak unsur-unsur
di dalamnya yang sangat berkait rapat dengan hal-hal semasa sama ada dari sudut
teks atau ilmu sanad.
Cuma berapa ramai yang mempunyai pemikiran yang kritis untuk
memahami semua itu?
Ramai yang menganggap belajar hadis itu semata-mata hafal
hadis sahaja, atau hafal itu dan ini. Silap sama sekali! Seni hadis membina
kehidupan, melakar panduan buat diri dan pelbagai aspek kehidupan manusia.
Sukar untuk diungkapkan keindahan seni hadis ini pada ruang coretan ini.
Sukar? Saya rasa bidang perubatan pun sangat sukar. Saya
banyak melihat pelajar-pelajar perubatan yang banyak menyendiri dan fokus
belajar sepanjang masa demi menjadi seorang doktor sama ada rela atau tidak.
Saya juga melihat banyak pelajar-pelajar yang belajar pada
malam-malam peperiksaan sahaja. Alangkah baiknya kalau hari-hari kita anggap
sebagai hari peperiksaan yang kita berusaha meluangkan masa dan komitmen untuk
ilmu. Jika seseorang penuntut itu menghadkan tahap keinginannya, bagaimana
kemahiran ilmunya akan dapat berkembang? Seorang pelajar yang hanya inginkan
keputusan yang biasa-biasa maka usahanya juga akan biasa-biasa.
Sudah tentu ilmu mana-mana bidang sekalipun tidak datang
dengan kerehatan. Kita boleh lihat misalnya profesor-profesor sains yang
menghabiskan sepanjang hayatnya di makmal untuk mengkaji dan meluaskan
pengetahuan bidang mereka dan menerokai suatu yang baru sambil tersenyum
menikmati kerja mereka.
Begitu juga dalam bidang hadis, saya kerap melihat ramai profesor-profesor hadis yang
bergelumang dengan kajian, perpustakaan, buku sepanjang hayat mereka. Bagaimana
mereka melakukan perkara tersebut?
Kesanggupan ini hanya wujud jika MINAT kita sangat tinggi
lalu kita akan menikmati proses pembelajaran tersebut walaupun sukar. Bila kita
seronok, segala cabaran akan dilalui dengan senyuman kepuasan.
Saya juga pernah melaui tempoh atau peringkat tidak minat,
kabur dengan bidang hadis beberapa tempoh yang agak lama. Saya faham situasi di
mana ramai yang belum melihat masa depan hadis mereka. Namun apabila minat itu
datang, saya pernah duduk menghadap komputer, buku dan kertas selama 18 jam
hari-hari untuk menyelesaikan kerja menyemak (tahqiq) dan menganalisis beberapa
naskah manuskrip hanya berhenti untuk solat dan makan sahaja, lalu tidur 4 jam
sebelum mengulangi rutin tersebut. Walaupun badan dan minda ini dirasakan
tersangat lelah namun perasaan ini tersangat puas!
(Artikel ini disiarkan di Utusan Malaysia, 11 Oktober 2018)
No comments:
Post a Comment
Hmm, komen yang murni-murni saja ya