Saya pasti ada
di kalangan kita yang pernah bertemu atau berbual dengan kaum batiniyyah.
Antara modus operandi bagi mempromosikan dakyah atau ideologi mereka ialah
taktik pentakwilan kepada setiap perkara. Biarpun mereka tidak akan pernah
menyebut sumber metodologi yang digunapakai, itu tidak bermakna ia boleh
disembunyikan buat selama-lamanya. Penganut batiniyyah di masa kini lebih rumit
dari dahulu. Ini kerana ada di kalangan mereka yang langsung tidak tahu menahu
apakah itu batiniyyah sedangkan ucapan & tindakan mereka tepat & selari
dengan ideologi batiniyyah. Mudah kata, mereka sendiri jahil bahawa mereka itu
batiniyyah kerana bertaklid buta kepada pengamal-pengamal batiniyyah tanpa ilmu
& pedoman yang sahih.
Antara
kemusykilan yang sering kali ditimbulkan kaum ini tatkala berbicara ialah
persoalan-persoalan pelik seperti "mengapa bayi menangis sewaktu keluar
dari rahim", "berapakah bahagian yang terdapat dalam kalimah
syahadah", "apakah rahsia wudhu’", "apakah rahsia
solat" & pelbagai lagi kemusykilan yang bersangkutan dengan perkara
rahsia, batin & hakikat.
Seseorang itu
tidak akan menjadi batiniyyah melainkan telah sebati di dalam jiwanya
kepercayaan bahawa bagi setiap perkara atau persoalan yang zahir itu pasti ada
batinnya. Perkara batin itu bagi mereka adalah kebenaran yang mutlak serta
hakikat yang benar. Mereka meletakkan perkara batin itu di tempat isi, manakala
yang zahir itu di tempat kulit. Kefahaman tersebut mereka umumkan terhadap
setiap perkara termasuk semua bentuk jisim & semua jenis ucapan.
Mereka tidak
akan sesekali mengiktiraf adanya persamaan antara zahir & batin bahkan
mereka akan mentakwilkan sesuatu perkara hinggalah ia menyalahi perkara yang
zahir, walaupun pentakwilan itu salah & memesongkan pada nisbah hakikat
& majaz!
Contoh penyelewengan
mereka ke atas kalimah syahadah adalah seperti yang termaktub di dalam karya
batiniyyah yang berjudul تأويل الشريعة yang ditulis oleh seorang yang digelar
Mu'izz al Dīn. Mereka berkata bahawa syahadah itu ada 2 bahagian, 4 kalimah, 7
fasal & 12 huruf. Maka ditakwilnya dengan mengatakan bahawa insan itu 2,
pertamanya jisim & keduanya ruh, ada 4 tabiat, ada 7 anggota badan & 12
tulang sendi (entah betul atau tidak).
Begitu juga
mereka takwilkan untuk dunia & sistem cakerawala. Katanya dunia ada 2, yang
makmur & yang hancur. Ada 4 arah, timur, barat, utara & selatan. Ada 7
iklim & 12 semenanjung. Manakala cakerawala ada 2, yang membujur & yang
melintang. Ada 4 titik. Dari situ terbitnya 7 falak & 7 bintang dan ada 12
buruj. Kesemua ini selari dengan kalimah syahadah mengikut perkiraan mereka.
Selain itu,
rujukan utama kaum yang dilaknat ini adalah kitab yang berjudul الرضاع في الباطن.
Pengarangnya, Ja'far bin Mansūr al Yameni ialah seorang pemimpin kaum
batiniyyah. Dia menyatakan bahawa makna لا اله الا الله diasaskan atas 4
kalimah, 2 nama halus yang khas iaitu ILĀH dan ALLĀH. Kalimah لا dan إلاّ ialah
dua lafaz yang selalu ditutur oleh manusia. لا ialah penafian dan إلاّ ialah
pengisbatan. Yang demikian itu adalah dalil kepada "ma'rifah yang masyhūd"
melalui 4 dimensi, dua yang halus & dua yang kasar. Dua nama yang halus itu
diwakili oleh akal & nafsu pada alam 'ulwi. Dua yang kasar itu diwakili di
alam sufli oleh al Nātiq & al Asās iaitu Nabi & al Wāsi. Kedua-duanya
merupakan keterangan untuk alam sufli ini.
Karya &
penulisan umpama Hakikat Insan, Tāj al Muluk & yang semanhaj dengannya
mengambil pedoman dari karya-karya induk seperti Manbā' al 'Ulūm, al Radhā',
Syams al Ma'ārif & karangan-karangan ibn 'Arabi al Hatimi.
Takwilan-takwilan
pelik seperti ini memang menjadi suatu yang menarik kepada orang awam khususnya
mereka yang jahil dalam aspek akidah & ilmu tauhid. Menjadi lumrah manusia
untuk tertarik dengan perkara yang ganjil. Tetapi kebanyakan kita hanya tertarik
tanpa mempersoalkan dasar atau sumber mereka. Akhirnya kalam-kalam seperti ini
menjadi ungkapan penuh kewahaman yang dijaja oleh seorang si jahil kepada si
jahil yang seterusnya. Lebih parah lagi bila mereka menyangka ia adalah ilmu
para wali.
أخوكم في الله محمد
إزوان
#repost
#refresh
No comments:
Post a Comment
Hmm, komen yang murni-murni saja ya