SELAMAT DATANG KE BLOG MUTIARA SABAH! I WISH YOU ALL THE BEST AND HAPPY NEW YEAR 2024!

Sunday, 1 September 2019

Ibubapa Jaman Now

Views
Anak-anak merupakan anugerah terindah yang diamanahkan oleh Allah kepada manusia di atas muka bumi ini. Nabi saw berasa sangat gembira jika anak ramai kerana ia akan memperbanyakkan lagi umat Nabi di akhir zaman ini. Bahkan dalam hadis Nabi saw menyatakan bahawa salah satu amalan (pahala) yang akan sampai kepada ibubapa di alam barzakh ialah doa daripada anak yang soleh. 


عن أبي هريرة رضى الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية أو علم ينتفع يه أو ولد صالح يدعو له

Maksud hadis: Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang berdoa kepadanya.” (HR Muslim).

Maka beruntunglah jika kita mempunyai anak yang soleh dan solehah kerana itu lah harapan Nabi Muhammad saw. Namun demikian, penulis berasa gusar dengan peranan ibubapa dalam mendidik anak-anak kerana mereka menekan semata-mata pendidikan akademik. Anak-anak telah dididik dengan fahaman sekular tanpa disedari oleh ibubapa mereka sendiri. Sebagai contoh, belajar baik-baik, bila dah berjaya dapat kerja bagus hidup pun senang. Ibubapa tidak faham makna sebenar hidup senang mengikut kaca mata Islam maka tidak hairan lah apabila anak-anak dah senang, ibu bapa dihantar ke rumah orang tua bahkan ada yang dibiarkan bersendirian di rumah. Oleh itu, penulis berasa terpanggil untuk menulis sedikit nasihat dan pesanan kepada para ibubapa di luar sana.

Berdasarkan pemerhatian penulis, ibubapa lebih senang melihat anaknya belajar ilmu dunia daripada ilmu akhirat. Mereka bersikap endah tak endah tatkala waktu solat telah tiba, hanya disuruh naik ke rumah, mandi dan sekadar itu saja. Padahal, solat itu hukumnya wajib yang membezakan antara Muslim dan kafir bahkan dalam panggilan adzan itu mengajak kepada kejayaan. Maksudnya, hanya orang yang solat akan menuju kepada kejayaan yang sebenar-benarnya. Penulis menzahirkan rasa kecewa dan sedih dengan kebanyakkan ibubapa pada ketika ini. Ajaran Islam telah menjadi “second class” dalam kehidupan seharian. Mereka hanya yakin perkara yang zahir di pandangan mata begitulah kejahilan ibubapa terhadap pendidikan anak-anak tentang Islam. Apabila diberi nasihat, mereka lebih mudah untuk mempertikaikan dan memberi alasan terhadap teguran dan nasihat yang diberikan oleh orang yang lebih berilmu. Malah dikatakan, si pemberi nasihat itu sebagai seorang yang ujub, angkuh dan suka menunjuk ketinggian ilmunya.

Selain itu, sikap ibubapa pada ketika ini juga sangat berbeza berbanding ibubapa pada zaman dahulu sekitar 70 dan 80an. Mereka lebih suka membandingkan anak dengan anak jirannya bahkan yang lebih parah ibubapa turut membandingkan anak mereka sendiri. Kebiasaanya, ibubapa akan melebihkan anak sulung berbanding anak pertengahan dan bongsu kerana mereka beranggapan anak sulung akan memberi harapan kepada mereka. Walaubagaimanapun, ibubapa tidak sadar bahawa situasi zaman telah berubah pendidikan pada hari ini bukan lagi berkonsepkan “transfer of character” tetapi “transfer of knowledge” sahaja. Sekarang, jika tujuan belajar sekadar untuk mendapatkan pekerjaan dan ilmu, Syeikh Google lebih pandai daripada guru dan pensyarah di Universiti. Penulis berharap agar ibubapa peka terhadap keadaan ini dan biarlah anak-anak kita lebih berakhlak namun pernyataan ini bukanlah menidakkan sama sekali ilmu dunia tetapi sekadar renungan kita bersama sebagai orang tua.

Sehubungan dengan itu, dalam jangka masa yang panjang penulis bimbang rasa hormat anak kepada orang yang lebih tua akan pudar. Jika diperhatikan dalam kalangan remaja, belia dan dewasa tidak ada sedikit pun perbezaan dari segi cara bercakap, bergurau, bermain dan menerima nasihat. Remaja jaman now lebih mesra berinteraksi dengan orang yang lebih dewasa bahkan yang sudah berpangkat Datuk dan Nenek sesuai dengan umur mereka. Ini merupakan satu ancaman yang jelas kepada keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat pada masa akan datang. Berbalik kepada 10 hingga 20 tahun yang lalu, anak tidak berani melanggar cakap orang tua, meninggikan suara bahkan lalu dan melihat muka orang tua ketika bercakap pun takut. Tetapi lihatlah zaman sekarang, interaksi insan yang berbeza umur itu sudah terbalik, anak-anak sudah hilang rasa hormat kepada ibubapa. Penulis berpandangan bahawa punca utama wujudnya masalah ini adalah daripada insititusi kekeluargaan itu sendiri kerana “transfer of character” itu sudah tidak dititikberatkan.

Dalam beberapa keadaan, ibubapa jelas menganggap anak-anak merupakan hadiah paling berharga kepada mereka setelah penantian dari mendirikan mahligai perkahwinan. Ketika mendapatkan zuriat, kenduri kesyukuran dilakukan, cerita sana sini, orang ramai turut mengucapkan tahniah tetapi apakah benar anak-anak ialah hadiah paling berharga? Jelas di sini ibubapa semakin keliru, anak-anak bukanlah hadiah semata melainkan amanah yang bakal digalas oleh mereka. Mereka yang mencorakkan anak-anak mereka untuk menjadi manusia yang akan memberi manfaat kepada kehidupan mereka kelak. Oleh itu, penulis mencadangkan supaya setiap sebuah keluarga itu jadikanlah salah seorang anak mereka yang belajar tentang agama sepenuh masa, maksudnya hantar mereka ke Pusat Tahfiz sebagai permulaan. Hal ini demikian kerana, penulis memerhatikan majoriti keluarga jaman now tidak faham agama kerana semua anak mereka belajar disiplin ilmu dunia lalu berkerja berdasarkan jurusan mereka. Dakwah bukanlah kerja Assatizah semata melainkan orang awam sekalipun jika ada sedikit ilmu boleh melakukannya seperti dalam Sabda Nabi saw, “baligu ‘anni walau ayah”.

Dalam konteks masyarakat, penulis juga mendapat jawaban bahawa ramai dalam kalangan Muslim sebenarnya faham tentang asas ajaran Islam itu sendiri sebagai contoh wajibnya solat, puasa zakat dan sebagainya. Walaubagaimanapun, tatkala kesibukkan melanda kehidupun mereka tuntutan ajaran Islam itu dianggap remeh malah dijadikan alasan ketidaklancaran aktiviti seharian. Mereka lupa bahawa semua itu hanya sia-sia dan amal ibadahlah yang menjadikan mereka mendapat sakinah di dunia dan akhirat. Penulis berpandangan bahawa masalah yang melanda ibubapa jaman now ialah sikap ego dan salah tafsir terhadap kehidupan di dunia ini. Seandainya mereka faham akan hakikat sebenar pasti ibubapa akan menjaga amanah (anak) dengan baik sesuai dengan Sunnah Nabi Muhammad saw. Di sini, penulis menegaskan bahawa penulis tidak menolak kepentingan kesenangan dunia tapi jangan sampai lupa destinasi yang sebenar di syurga sana. Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment

Hmm, komen yang murni-murni saja ya

TIDAK DIBENARKAN melakukan apa-apa suntingan kedua tanpa KEBENARAN oleh sabahsentiasadihati.blogspot.com